Kerajaan persekutuan Politik_Amerika_Syarikat

Kerajaan Amerika Syarikat ialah di dalam bentuk kerajaan persekutuan. Perlembagaan Amerika Syarikat menghadkan kuasa kerajaan persekutuan kepada pertahanan, polisi luar negara, pencetakan mata wang, mengawal perdagangan, perhubungan antara negeri-negeri serta melindungi hak asasi manusia. Kerajaan persekutuan terdiri dari Kongres (cabang legislatif), Presiden (cabang eksekutif), dan Mahkamah Agung (cabang kehakiman). Ketiga-tiga cabang ini saling memeriksa dan mengimbang antara satu sama lain.

Cabang legislatif

Kongres Amerika Syarikat adalah dwidewan dan terdiri dari Dewan Perwakilan Rakyat dan Senat.

Dewan Rakyatnya terdiri dari 435 anggota Kongres yang dipanggil "congressmen" atau "congresswomen", yang dipilih oleh rakyat dari kawasan pilihan raya atau "congressional district" masing-masing. Mereka akan memegang jawatan ini selama satu penggal (dua tahun). Bilangan kawasan bagi setiap negeri bergantung kepada saiz penduduk di negeri tersebut, dan setiap negeri-negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu wakil rakyat. Menurut banci Amerika Syarikat 2000, setiap kawasan pilihan raya mempunyai purata penduduk seramai 640,000 orang.

Senat pula terdiri dari 100 ahli dipanggil Senator. Mereka juga dipilih oleh rakyat daripada setiap negeri tetapi berbanding dengan wakil rakyat, tempoh satu penggal mereka adalah lebih lama iaitu enam tahun. Bilangan Senator adalah sama bagi semua negeri iaitu dua Senator bagi setiap negeri.

Ahli-ahli Perwakilan Rakyat dan Senator dipilih melalui sistem pilihan raya majoriti mudah.

Kebanyakan rang undang-undang (bills) boleh diperkenalkan sama ada di "Dewan Perwakilan" atau "Senat". Sekiranya kedua-dua Dewan meluluskan rang undang-undang tersebut, Presiden akan di minta untuk menandatangani dan meluluskannya sebagai Akta. Seorang Presiden boleh membatalkan rang undang-undang, tetapi Kongres masih boleh menjadikannya sebagai undang-undang jika mendapat dua-pertiga undi dari kedua-dua dewan. Semua rang undang-undang untuk meminjam wang atau mengenakan cukai, akan bermula di Dewan Perwakilan Rakyat.

Cabang eksekutif

White House atau Rumah Putih, kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat di Washington D.C.

Dipuncak cabang eksekutif ialah Presiden Amerika Syarikat. Presiden merupakan Panglima Besar angkatan tentera; semua staf militari berada di bawah bidangkuasanya, dan hanya beliau boleh melancarkan serangan senjata nuklear. Presiden berkuasa untuk meluluskan undang-undang, dan memberi pengampunan dan perintah eksekutif. Beliau juga mempunyai tugas-tugas lain di bawah perlembagaan, antara lain memberi ucapan "State of the Union" kepada Kongres pada setiap tahun. Di bawahnya pula ialah Naib Presiden yang berperanan sebagai penasihat pertamanya dan penyokong atau "backup" Presiden, dan merupakan ketua atau Presiden Senat, dengan kuasa untuk menentukan undian apabila ia terikat (tiebreaking vote). Kedua-dua jawatan tersebut dipilih oleh rakyat setiap empat tahun. Pemilihan Presiden Amerika adalah agak rumit kerana ia membabitkan pemilihan rakyat melalui sistem "Electoral College" atau perwakilan bagi setiap negeri di Amerika Syarikat. Oleh itu, seorang calon Presiden mesti mendapat sokongan lebih 50% dari perwakilan negeri di Amerika Syarikat. Sejak kemenangan George W. Bush yang kontroversial pada pilihan raya 2000, keberkesanan sistem pilihan raya Amerika telah banyak dipertikaikan.

Selain itu, terdapat pula ahli-ahli Kabinet, dan pelbagai jabatan yang mereka terajui, termasuklah Jabatan Pertahanan, Jabatan Kehakiman, dan State Department. Jabatan-jabatan tersebut dan ketua-ketuanya memegang kebanyakan kuasa politik dan juga melaksanakan undang-undang negara.

Dari segi parti politik, terdapat dua parti politik yang paling utama iaitu parti Demokrat dan Republikan.

Cabang kehakiman

Mahkamah tertinggi negara adalah Mahkamah Agung Amerika Syarikat, yang terdiri dari sembilan hakim. Antara lain, mereka berkuasa untuk mengisyhtiharkan undang-undang dimana-mana peringkat kerajaan sebagai tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan. Sesiapa yang melanggar perlembagaan persekutuan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Malah, Presiden pun tidak terkecuali dan boleh dijatuhkan sekiranya dia tidak mengikuti perlembagaan. Kuasa ini yang dipanggil "power of impeachment" telah menjatuhkan beberapa presiden termasuk Presiden Nixon. Di bawah Mahkamah Agung ialah Mahkamah Rayuan, dan di bawahnya pula ialah mahkamah daerah, yang merupakan mahkamah perbicaraan am untuk undang-undang persekutuan.

Cabang kehakiman diperingkat kerajaan pusat akan hanya dirujuk, apabila pengadu tiada ruang lagi di mahkamah negeri atau sekiranya ia melibatkan urusan persekutuan atau perlembagaan negara. Suatu kes hanya boleh dirayu dari mahkamah negeri ke mahkamah persekutuan, sekiranya ia menyentuh isu persekutuan. Mahkamah Agung Negeri atau "State supreme court" merupakan autoriti terakhir untuk menafsir undang-undang serta perlembagaan negeri masing-masing.